Newsflash

SEMINAR/ BENGKEL BELADIRI WANITA DI TEMPAT ANDA ~ Dapatkan tips, rahsia & petua kecergasan & beladiri. Berminat keterangan lanjut, sila telefon: 03-4025 5379 / 013-300 1186 (Shaiful) / 012-6433 007 (Imran)
 
Laman Utama arrow Sembah Salam
Sembah Salam PDF Print E-mail


Melayu, semangat dan realiti…

(Mei 2007)


 

Bulan Ogos ini, Malaysia menyambut Merdeka ke-50 tahun. Ya, sudah setengah abad rakyat Malaysia mengangkat  tangan melaung; "Merdeka! Merdeka! Merdeka!". Usia yang digelar Jubli Emas.

 

Sudah diketahui dan wajar terus diingati atau ingat-mengingati antara rakyat Malaysia, bahawa mula datangnya penjajah adalah Portugis yang mula membedil kota Melaka pada tahun 1509. Ketika itulah maruah bangsa tercabar dan dicabar.

 

Kerana bumi ini, penjajah bukan sahaja berdepan dengan pahlawan tempatan tetapi juga Belanda dan Inggeris hingga tentera eropah berperang sesama sendiri. Merebut Kota Melaka yang menjadi pelabuhan perdagangan yang amat penting di Asia Tenggara.

 

Pertanyaan. Siapa yang membina Kota Melaka? Siapa pemimpinnya yang menjadikan Melaka sebuah pelabuhan yang hebat? Siapa mereka?

 

Bila Melaka tumbang 1511, siapa yang menyerang untuk memperolehi kembali kota itu?

Tanya diri, kenapa Kota Melaka gagal ditawan 1509? Itu adalah bedilan pertama Portugis untuk tawan Melaka.

 

Siapa dan kenapa pintu Kota Melaka dibuka kepada Portugis?

 

Banyak soalan boleh ditebar disini. Selepas kejatuhan Melaka, perjuangan tidak terhenti. Penjajah terus dilawan samada diserang atau menyerang. Kerana diketahui, betapa binasanya bumi yang berdaulat jika dijajah.

 

Kembali kepada soalan pertama, siapa membina Kota Melaka dan seterusnya... jawabnya, Melayu. Ya, bangsa Melayu.

 

Bangsa Melayu berdaulat kerana ada Raja-raja Melayu dan seterusnya pemimpin-pemimpin yang berkewibawaan. Mereka mendirikan kerajaan dan mereka mahukan kemakmuran. Di istanalah gedung pelbagai ilmu Melayu dan nusantara.

 

Kerana itu juga, mereka boleh berniaga dengan tauke Cina dan begitu juga pedagang India.

Begitu juga hebat berperang dan ilmu hutan kerana hubungan dengan orang asli. Ini semua tidak dapat dinafikan dan ia sebahagian ilmu orang Melayu.

 

Melayu kalah dengan Portugis kerana seorang rakyat bukan tempatan membuka pintu kota Melaka. Portugis masuk dan bila berjaya menawan, Melayu dan India disembelih mereka. Ini cerita yang dicatat dan ini sikap penjajah. Ini juga dalam syair Melayu lama.

 

Ingat, laungan; "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" adalah laungan keramat.

 

Orang Melayu tidak pernah putus asa untuk mendapatkan kembali Melaka. Penjajah terus ditentang. Penjajah merampas pentadbiran negeri dan mengaut keuntungan dengan mengambil hasil negeri. Mereka hingga kini menjadi negara kaya-raya kerana hasil kita!

 

Adakah anda sedar? Adakah penjajah ingin pulangkan hak kita yang dirampas? Pernahkah mereka mohon maaf? Bukan sahaja penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris tetapi juga Jepun!

 

Mereka jejak kali pertama kaki di Tanah Melayu, iaitu pantai Kelantan. Mereka dakwa, mereka datang kerana Asia untuk Asia atau kata mudah, mereka mahu 'halau' penjajah. Tetapi, mereka lebih kejam dari Inggeris. Mereka laung; "Bangsai!", tetapi akhirnya orang Melayu panggil mereka "Bangsat!".

 

Penulis ambil cerita benar baru-baru ini iaitu pendedahan Lai Meng Chong dalam ucapan beliau, ketika menjadi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Melaka.

Dakwa beliau, jika bukan Datuk Machap sudah pasti bapanya dan orang-orang Cina di situ akan mati dengan di pancung kepala.

 

Menurut beliau, dengan berkat doa Datuk Machap, dua buah trak yang membawa tentera Jepun dari Melaka tidak dapat datang kerana mereka mengalami sakit perut dengan tiba-tiba.

 

Doa itu telah membuat hubungan orang Cina dengan Melayu akrab hingga membantu mengubah-suai masjid Datuk Machap.

 

Bukan hendak mengangkat atau melebih-lebihkan orang Melayu. Bangsa lain pun ada keistimewaannya atau kata senang, semua bangsa sama sahaja.

 

Namun kerana 'kepandaian' Melayu ada yang membuat orang tidak senang termasuk orang Melayu sendiri. Orang Melayu yang penulis label 'Melayu sesat' jika mengutuk, mengejek dan sebagainya terhadap bangsa sendiri.

 

Seorang ahli akademik Barat dari Poland, Profesor Dr. Ataullah Bogdan Kopanski (rujukan; petikan dari rencana Khairol Anuar Masuan,  Mengenali kelebihan Melayu, Utusan Malaysia, 6 April 2007) menganggap orang Melayu seperti 'layu'. Tidak bertindak bila berdebat atau ingin sesuatu.

 

Namun setelah berada lama di Malaysia barulah beliau faham siapa orang Melayu yang sangat tidak suka berdebat dan bercakaran. Kalau suasana agak 'panas' maka akan dicari aktiviti supaya terlupa sekejap , contohnya makan dan minum dulu.

 

Ini adab Melayu dan juga Islam.

 

Khairol turut persoal, sungguh malang apabila sudahlah kita dibodoh-bodohkan oleh penjajah tetapi lebih malang jika kita (Melayu) tidak kenal diri kita.

 

Kemudian penulis itu mengupas seorang pengkaji orang Melayu bernama John Tiffany dalam artikel beliau bertajuk "The Malay-A People of Fascinating Divisions." Pengarang itu merujuk  orang Melayu sebagai "The Viking of the Orient." Orang Melayu dikenali sebagai pembina kapal laut, pelayar yang hebat, berenang bagai ikan di air dan merentasi separuh dunia sebelum penjajah menemui mereka.

 

Lebih mengagumkan pengarang mengatakan orang Melayu menganggap lautan itu tempat bermain sedangkan orang putih cukup takut dengan laut. Orang Melayu juga anggap pelayar teragung dan juga pedagang.

 

Orang Melayu dikatakan mempunyai seni pelayaran yang dipanggil "psycho-navigation." Ia boleh dianggap sebagai deriakeenam orang Melayu yang tidak dimiliki bangsa lain di dunia.

 

Psycho-navigation bermaksud orang Melayu boleh bersampan dari pulau ke pulau tanpa alat bantuan pelayaran.

 

Manakala segala binaan perahu di istilah psycho-shipbuilding kerana dunia Barat tidak dapat mencari, mencungkil atau membuat kesimpulan, bagaimana kecerdikan itu terjadi?

 

Harap pembaca faham, kenapa penulis label " Melayu sesat"? Simpatilah mereka dan kita perlu perbetulkan mereka.

 

Bulan Ogos, Malaysia menyambut usia 50 tahun. Seni Beladiri genap 10 tahun. Majalah Pendekar yang diterbitkan 1988 dihasilkan dalam bulan merdeka dan dipasaran bulan Oktober.

 

Dalam perbuatan Melayu, sebutan; "semangat" wujud. Semangat itu merujuk kepada kekuatan dalaman. Bila ada semangat itu dikaitkan dengan 'roh' atau 'hidup'.

 

Ringkasnya, ada kekuatan dan ia hidup.

 

Negara kita negara majmuk. Kita pun jangan keterlaluan bicara mengenai Melayu. Cukup dengan sekadar ingat-mengingati, sedar dan insaf sejarah Melayu.

 

Orang Melayu juga banyak belajar dengan orang Cina dan begitu juga dengan orang India dan sebagainya. Ini tidak boleh dinafikan.

 

Ketika menjadi ketua pengarang kumpulan sebuah akhbar tabloid politik, pernah diberitahu, sudah 'takdir', survival orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan jika tidak akan menjadi hamba di bumi sendiri. Jadi, orang Melayu perlu berjuang utuk hak, orang Cina pula perlu berjuang dalam perniagaan yang menjadi gaya hidup mereka. Mereka perlu berjuang supaya tidak menjadi hamba. Begitu juga dengan orang India, mereka berjuang dengan membantu dan memberi sokongan supaya boleh berdiri sebaris dengan orang Melayu dan India.

 

Malah budaya Melayu iaitu silaturahim atau 'berhubung' dengan menziarahi bangsa lain menjadi budaya Malaysia. Menghidang makanan kepada tetamu yang berkunjung sudah menjadi adat kemestian. Ini juga dikatakan semangat.

 

Dalam beladiri, permainan kuntau dan lian berasal dari orang Cina. Orang Malaysia pula boleh belajar apa sahaja beladiri baik dalam negara ini dan luar negara. Namun yang terbabit hanya minoriti. Yang betul-betul menjadikan diri pengamal hanya segelintir.

 

Terlangsung, semangat orang Malaysia tidak sungguh kuatnya.

 

Sudah tiba masanya orang-orang beladiri, khasnya guru-guru tampil untuk membantu negara dalam menguatkan kembali semangat dan seterusnya disiplin.

 

Majalah SENI BELADIRI (SB) akan terus memainkan peranan. Bulan ini, SB sudah ada permit untuk masuk Singapura dan beberapa naskah ke Cape Town.

 

Teringat penulis dengan suara sumbang; "Apa hebatnya Melayu? Ada ke orang baca majalah Melayu? Bagus ke Silat Melayu?...."

 

Penulis tidak akan menjawab kerana dunia sudah tahu siapa Melayu? Setiap tahun mereka cakap mengenai Melayu dalam pelbagai aspek?

 

Malangnya 'Melayu sesat' lupa diri hingga dengan mudah menerima  budaya Barat. Rujuk rencana Kenapa kita gagal membina semula tamadun? Dalam kolum Pena Mufti, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bila di kaji, di cungkil dan di gali akan terpancar silau permata Melayu.

Penulis sudah lama tahu. Kerana itu menghasilkan buku Senaman Tua. Ini antara realiti bangsa Melayu dari anugerah Tuhan.

 

 

 

 

 

This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

 

 
(C) 2008 Seni Beladiri - Unity Through Martial Arts
Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox Penafian : AGM tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat dalam laman web ini. Semua maklumat yang dipaparkan adalah benar dan betul pada masa tarikh dan masa diterbitkan dan tertakluk kepada pindaan dari masa ke semasa